SSurah al-Ikhlas
Surah ini mempunyai 4 ayat. Dinamakan Al-Ikhlas kerana surah ini sepenuhnya menegaskan kemurnian keesaan Allah s.w.t.
Surah ini menyamai satu pertiga al-Qur’an. (Isu/konsep Aqidah Tauhid).
Isi penting surah:
Penegasan
tentang kemurnian keesaan Allah s.w.t. dan menolak segala macam
kemusyrikan dan menerangkan bahwa tidak ada sesuatu yang menyamai-Nya.
Sebab
turun ayat: Dalam suatu riwayat dikemukakan bahwa kaum musyrikin
meminta penjelasan tentang sifat-sifat Allah kepada Rasulullah saw.
dengan berkata: "Jelaskan kepada kami sifat-sifat Tuhanmu." Ayat ini
turun berkenaan dengan peristiwa itu sebagai tuntutan untuk menjawab
permintaan kaum musyrikin.
(Diriwayatkan
oleh at-Tirmidzi, al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah bersumber dari Ubay bin
Ka'ab. Diriwayatkan pula oleh at-Tabrani dan Ibnu Jarir at-Tabari yang
bersumber dari Jabir bin Abdillah dan dijadikan dalil bahwa surah ini Makkiyah. Sebahagian Ulama’ seperti Imam As-Suyuti berkata bahawa surah ini Madaniyyah sesuai dengan hadith Ibnu Abbas).
[قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ]
1. Katakanlah (wahai Muhammad): "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa.
-
Allah Yang Maha Esa. Tiada Tuhan melainkan Dia. Dialah Allah yang
menciptakan segala-galanya. Dialah Allah yang mengatur dan menguruskan
segala-galanya. Dialah Yang Maha Esa, Yang Maha Satu, Yang Maha Tunggal,
hanya Dia Pemilik dan Raja ke atas segala-galanya.
لا إله إلا الله !
- Apabila mendapat nikmat, ketahuilah segala nikmat itu adalah daripada-Nya.. Bersyukurkah kita?
-
Apabila diuji, sedarlah segala ujian itu adalah ujian daripada-Nya.
Ketahuilah, Dia tidak menguji kecuali dengan apa yang disanggupi
hamba-Nya.. Bersabarkah kita?
-
Ayat ini menyedarkan kita bahawa kita ini hamba-Nya dan Dia adalah
Allah Tuhan yang Maha Esa, kita menyerahkan segala hanya kepada-Nya.
Segala harapan, segala urusan, kita hanya bergantung kepada-Nya yang
Maha Esa.
[اللَّهُ الصَّمَد]
2. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
- Segala sesuatu bergantung kepada-Nya kerana Dialah yang menciptakan segala sesuatu. Dialah al-Khaliq (الخالِق), dan selain daripada-Nya adalah makhluk (المخلوق).
-Maka
sebagai makhluk dan ciptaan-Nya kepada siapakah lagi yang layak untuk
kita bergantung dan berharap? Hanya Dia Allah Tuhan yang Maha Pencipta!
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
-
Setelah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa-apa pun
cita-cita kita, adakah kita meletakkan sepenuh harapan kita kepada-Nya?
Adakah kita percaya kepada-Nya? Adakah kita reda dengan takdir dan
ketetapan-Nya? Ikhlaskah kita melakukan segala-galanya demi Dia?
-
Tanda Allah SWT meredhai kita adalah dengan kita meredhai segala
ketetapan-Nya.. yang baik mahupun yang buruk kerana semuanya adalah
ujian dalam kehidupan di dunia yang sementara. رضيت بالله ربا (Aku redha dengan Allah sebagai Tuhan)
وبالإسلام دينا(dan dengan Islam sebagai agama/jalan kehidupan)
وبمحمد نبيا ورسولا(dan dengan Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul/Utusan)
[لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ]
3. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan
-
Ayat ini menafikan adanya Tuhan selepas Tuhan dan menafikan adanya
Tuhan sebelum Tuhan, kerana Allah itu Tuhan yang Maha Esa, yang Maha
Satu, yang Maha Tunggal.
-
Tiada ibu bapa kepada Tuhan yang melahirkan-Nya, tiada pula anak Tuhan
yang akan mewarisi, kerana Tuhan itu Maha Hidup dan tidak akan mati.
Dialah Allah Yang Maha Awal dan yang Maha Akhir.
-
Ayat ini membersihkan dan menyucikan sebarang keraguan dan
bisikan-bisikan syaitan yang cuba meragukan manusia dengan wujudnya
kemungkinan Tuhan itu beranak pinak seperti manusia dan haiwan, atau
kemungkinan Tuhan itu ada ibu bapa dan keluarga.
-
Ayat ini menegaskan bahawa beranak pinak dan berkeluarga itu hanyalah
ciri-ciri makhluk dan Tuhan al-Khaliq (yang Maha Pencipta) tidak sama
dengan makhluk-Nya.
[ ِوَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُواً أَحَدٌ]
4. dan tidak ada sesiapapun yang sekufu/setara dengan-Nya.
- Tiada
apapun yang sebanding dan setara dengan-Nya, kerana Allah ialah Tuhan
yang Maha Esa. Dia langsung tidak sama seperti makhluk ciptaan-Nya.
Tiada Tuhan selain Dia.
- Tiada yang lebih Pengasih atau memiliki kasih yang sama seperti kasih-Nya.
- Tiada yang lebih berkuasa atau memiliki kuasa yang sama seperti kuasa-Nya.
- Tiada yang lebih mengetahui atau memiliki pengetahuan yang sama seperti pengetahuan-Nya.
- Tiada yang lebih Adil atau memiliki keadilan yang sama seperti keadilan-Nya..
Dan begitulah seterusnya..
Apa yang kita ada, tidak terbanding dengan apa yang ada pada-Nya.
- Maka apakah perasaan seorang makhluk kepada-Nya?
Surah ini memberikan emosi/perasaan yang pelbagai kepada kita:
- Rasa tawadhu’ (rendah diri) kepada-Nya, sedar diri kita manusia pendosa yang sentiasa berharap keampunan dan rahmat-Nya..
- Rasa Izzah (harga
diri) sebagai seorang Muslim, menyedari diri kita sebagai hamba Allah
semata-mata membebaskan diri kita daripada kehambaan kepada selain-Nya.
- Rasa syukur dan sabar dalam setiap apa yang menimpa, baik ataupun buruk.
-Sentiasa berusaha untuk ikhlas hanya kepada-Nya, sentiasa muhasabah/memperbaharui niat kita.
Antara Sunnah Rasulullah SAW berkaitan surah al-Ikhlas:
1. Membaca surah al-Ikhlas 3 kali sebelum tidur (bersama surah al-Falaq dan an-Nas)
2. Membaca surah al-Ikhlas 3 kali di waktu pagi dan petang (bersama surah al-Falaq dan an-Nas)
3. Membaca surah al-Ikhlas dalam solat-solat sunat pada rakaat kedua (pada rakaat pertama dibacakan surah al-Kafirun).
HUBUNGAN SURAH AL-IKHLAS DENGAN SURAH AL-FALAQ
Surah
Al-Ikhlas menegaskan kemurnian Allah s.w.t. dan surah Al-Falaq
memerintahkan agar semata-mata kepada-Nya-lah manusia memohon
perlindungan daripada segala macam kejahatan.
No comments:
Post a Comment